Saturday, May 2, 2020

Memahami dan difahami

Makin kita fikir, makin rasa sakit. Makin kita pendam, makin rasa terbeban. Kadang mahu luahkan, tapi tiada yang rela mendengar. Kadang mahu memendam saja, tapi makin lama luka semakin dalam. Kalau benar hakikat hidup bersendirian, mengapa kita di ciptakan berpasang-pasangan? Kalau benar hakikat hidup untuk di sakiti, mengapa senyuman masih terlekat di bibir? 

Andai kata satu hari aku menjerit kuat, seluruh alam bergema, adakah aku di hina atau berpuluh tangan menghulur kepadaku? Aku sendiri keliru. Aku sendiri takut. Mengapa di ciptakan tangisan jika kegembiraan wujud dalam dunia?

Sakitnya aku sendiri yang rasa, sakitnya aku sendiri yang lalui. Sudah aku bilang beberapa kali pada diriku, tiada yang lebih sakit melainkan aku. Tiada yang lebih kecewa melainkan aku, tiada yang lebih sedih melainkan aku. Sehingga aku merasakan tiada siapa yang mengerti melainkan aku. Pedihnya sehingga menusuk ke dalam. Seperti pedang tajam yang menghiris hiris jantungku, nafasku sudah seakan akan terhenti. 

Tapi aku terlupa, mataku, telingaku, bahkan perasaan aku sudah tertutup oleh luka-luka dalam ini. Aku terlupa tentang kehidupan yang lain. Aku terlupa tentang perasaan orang lain. Yang mungkin sama sepertiku. atau yang mungkin jauh lebih sakit daripada aku. Aku terlupa, bahawa ujian kami berbeza tetapi kesakitannya tetap sama. \

Seorang anak yang kehilangan ibu bapa, hilang tempat bermanja.
Seorang ibu yang kehilangan anak, hilang tempat berkasih.
Seorang suami kehilangan isteri, hilang tempat bermesra.

Perasaan mereka tetap sama. Kehilangan. Bukan mudah untuk menerima, bukan mudah untuk menzahirkan kesakitan itu. Tetapi masih ada alasan untuk terus kuat. Masih ada alasan untuk terus merawat luka. Kerana Tuhan masih sayang pada kita.

Keluarga berpecah-belah, suami isteri bercerai-berai, adik-beradik bermusuhan. Masing-masing mempunyai perasaan sendiri. Masing-masing mempunyai alasan sendiri. Masing-masing mempunyai kemahuan sendiri dan masing-masing mempumyai matlamat sendiri. Perasaan meraka juga tetap sama, rasa sakit hati, marah, kecewa dan dendam.

Setiap manusia belajar dari kesilapan, Pengalaman mengajar kita erti kekuatan, pengalaman mengajar kita erti ketabahan dan pengalaman mengajar kita supaya untuk terus bertahan untuk hidup. Dalam perjalanan kehidupan seseorang, terselit peristiwa yang tidak akan pernah di lupakan. Mungkin hari ini kita masih dapat bersama dengan orang tersayang, tapi ada di antara kita masih kesunyian dalam dunia yang serba warna warni.

Berfikirlah, letakkan diri kita pada orang yang benar-benar mahu di fahami. Pinjamkanlah bahu kita untuk orang yang benar-benar dalam kesedihan, pinjamkanlah telinga kita untuk orang yang benar-benar memerlukan tempat luahan. Didik diri kita supaya memahami kehidupan seseorang. 

Jadikan kekuatan kita untuk membangkit semangat yang lain, jadikan pengalaman kita untuk mengajar orang lain, jadikan luka kita sebagai tanda untuk kita sama-sama bantu orang yang memerlukan kita. 

No comments:

Post a Comment