Manusia, sering berharap. Berharap agar memahami yang lain, berharap agar difahami, berharap dan terus berharap. Kadang ada yang berharap perkara yang tidak pasti, kadang ada yang berharap perkara yang mustahil. Begitu lumrah manusia, pasti ada yang tidak cukup di mata. Pasti di selimuti keinginan yang tidak pernah surut. Otak sentiasa berfungsi mencari jalan, jiwa sentiasa memberontak, hati sentiasa berbolak balik mengimbangi setiap perkara. Berharap agar semua di tangan.
Setiap permulaan pasti ada pengakhiran, setiap yang manis pasti ada pahit, begitulah juga kehidupan ini. Walaupun pengakhiranku tidak begitu indah, aku masih tersenyum mengenang benda yang lepas. Dan begitu juga sebelum ini, aku hanya mampu berharap aku tidak mengulanginya sekali lagi. Tidak terdaya untuk aku melukakan sesiapa malahan aku tidak mampu memberikan pelangi untuk mereka. Sakitnya aku di sini tidak setimpal dengan sakitnya mereka memberikan sebuah peluang untuk aku belajar mengenal kehidupan. Dan aku mengakhiri pengorbanan mereka dengan semangkuk racun yang harus di telan.
Langkah demi langkah aku gagahi walaupun sukar untuk aku hadapi, dengan hati yang tersisa, aku tetap tersenyum menyua kepada orang sekeliling. Niat aku cuma satu, penuhi keinginan orang lain seusai penuhi keperluan diri. Pentingkan diri bukan perkara yang mudah, dan ia bukanlah perkara yang sukar. Walaupun aku merasa setiap hari bersilih ganti dengan pantas, tapi kadangkala yang aku harapkan berubah sekelip mata. Dan di hari-hari yang terakhir, aku kecundang. Kecundang tanpa sebab.
Kejayaan memerlukan pengorbanan. Dan aku masih mencuba, hari demi hari, bulan demi bulan dan aku akan terus mencuba untuk tahun kedua. Walaupun sudah banyak hati aku korbankan demi kebaikan hidup, aku perlu untuk teruskan hidup demi hati yang masih tetap setia bersamaku. Walaupun acap kali aku mengulangi kata maaf, aku tahu masih tiada apa tersisa selepas kehilanganmu. Akan aku kenang segala kenangan kita bersama walaupun pada zahirnya aku menidakkan semua itu tetapi cinta dan sayang ini masih tetap sama seperti dulu.
Kalau di izinkan, biarkan aku terbang di dunia khayalanku. Biarkan aku bebas berdikari dan tidak membebankan orang lain. Kalau di izinkan, aku kembalikan diri aku, untuk mu.
Aku cuma mampu terus berharap, agar kau sentiasa di rahmati tuhan.