Assalamualaikum
Setelah sekian lama tulisanku terbuku di hati, kali ini aku ukirkan di catatanku. Andai hari ini aku masih berkeras teguh seakan kuat menembuh ombak yang membadai diri, tiada lagi coretan dari hati yang keras ini. Namun kali ini aku sedar tangisan, keluahan dan sunyi sepi diri ini adalah kerana kelemahanku. Tidak sempurna siang dan malam tanpa matahari dan bulan, tidak sempurnalah manusia tanpa masalah dan dugaan. Setiap yang bernyawa di bumi ini pasti bergelut dengan masalah sendiri. Hampir rasa diri ini paling berat ujian yang datang, tapi mata ini menjadi saksi adanya ujian lagi berat singgah ke manusia yang lain. Sungguh janji Allah, ujian yang diberikanNya hanya untuk orang-orang yang di kasihi. Alhamdulillah.
Berkongsi hanya pada yang mahu, tauladan hanya pada yang menyedari. Aku hanya insan biasa yang mempunya jiwa yang bermacam-macam dan raga yang mengeksperikannya. Tidak seorangpun yang masih mengenaliku, malah yang bertahun berpenghujung meninggalkanku. Tiada apa yang aku kesali, tiada apa yang aku tangisi kerana kesudahannya sudah aku jangkakan. Aku lebih suka menyediri, sunyi sepi tanpa ada yang peduli. Kerana wujudnya aku hanya untuk menyakiti.
Kadang sedih kadang marah, aku sendiri tidak pasti apa yang aku rasakan. Mudah untuk aku melepaskannya dengan amarah tapi payah untuk aku meluahkan dengan perkataan. Payah untuk orang memahami orang seperti aku kerana sehingga kini aku juga sudah tidak mengenali diri aku sendiri.
Berat untuk aku memberi kata, berat untuk aku meluah rasa. Kerna itu aku perlukan ruang, aku perlukan masa. Aku perlukannya untuk aku kembali mengenali diri, mengenali kehidupan.
Coretan ini khas untuk orang yang sedang merapatiku, orang yang merasakan sudah fahami diri aku dan orang yang sedang membantu aku.
Terima kasih kerana sudi melayani aku yang serba serbi kekurangan. Tetapi masih ada had untuk kita membina tembok tinggi agar aku tidak menyakitimu dengan lebih dalam. Kau tidak memerlukan aku untuk menyempurnakan kehidupan kau hari ini, esok atau kelak nanti. Hargailah kasih sayangmu, hargailah masamu dan hargailah orang sekelilingmu.
Terima kasih kepada orang yang masih memahamiku dari riak wajahku, tingkahlaku ku. Andai hari ini kau rasa sudah cukup mengenaliku, kau silap. Kerana kau hanya membaca sinopsis kisah hidupku, dulu. Dan sinopsis dalam novelku, bukanlah jalan cerita yang sebenarnya dan aku cuma mahu menutupi kisahku. Maaf kerana masih tidak mempercayaimu. Maaf kerana aku masih belum pasti adalah kau orang yang mampu menanggung derita bersamaku. Asal kau tahu, kata-kata "Aku dah kenal sangat dengan peragai kau" tiada dalam lembaran hidup aku. Kerana realitinya, lakonanku hanya untuk mewarnai perhubungan kita walaupun palsu.
Terima kasih kepada yang sedang membantuku, walaupun luka-luka lama masih berdarah kembali. Datangnya engkau membawa senyuman untukku, tetapi datangnya aku membawa racun yang bisa. Andai kau melangkah pergi, aku rela walaupun sakit. Andai kau masih di sini, penghujung yang baik pasti menanti Insya Allah.
Aku doakan kalian menjadi insan yang dikasihi Tuhan. Moga kalian terus tabah menjalani kehidupan bersama aku, terpaksa atau rela.